Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN lelaki berpura-pura mahu menyewa bekalan elektrik dan air milik wanita warga emas sebelum merompak wanita terbabit akhirnya terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh, Aminuddin Sulaiman, 41, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak harta milik Meriam Ismail, 82, iaitu wang sebanyak RM360, kad pengenalan dan anak kunci rumah yang berada di dalam dompet di rumah di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, 11 pagi pada 15 Mei 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


TERTUDUH, Aminuddin Sulaiman, 41, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merompak seorang warga emas. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Media sebelum ini melaporkan seorang penjenayah berpura-pura mahu menyewa bekalan elektrik dan air milik seorang warga emas untuk tujuan pembinaan rumah sebelum bertindak merompak wanita berkenaan.

Selain melarikan wang tunai RM360, kad pengenalan dan kunci milik wanita, lelaki terbabit turut memulas dan menutup muka mangsa menggunakan sehelai tuala.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang tinggal bersendirian itu berada di luar rumah sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali meminta izin untuk menyewa bekalan air dan elektrik dari rumah mangsa kononnya untuk memudahkan urusannya menyiapkan rumah yang terbengkalai di belakang rumah mangsa.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa pergi ke rumah yang sedang dibina untuk melihat pembinaan yang dimaksudkan dan ketika itu, suspek mula menunjukkan belang apabila memulas dan menutup muka mangsa menggunakan tuala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:34 PM