ROSLI Othman. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hilmie Hussin


BURUH ditemui meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di rumah rakan di Kampung Baru Nyalas, Jasin, semalam.

Difahamkan dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa Rosli Othman, 35, ke rumah rakannya sebelum dia ditemui rakannya, sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, rakan mangsa menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dalam bilik.

"Mangsa seorang buruh di Felda Bukit Senggeh Nyalas, di sini, ditemui mati terbaring oleh rakannya dengan satu telefon bimbit, pengecas telefon dan sambungan wayar di sisinya.

"Siasatan mendapati, mangsa sedang mengecas telefon pada palam pencucuh dan siasatan lanjut tidak menemukan kesan kecederaan lain," kata Arshad ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kematian mangsa disahkan akibat degupan jantung tidak stabil.

Menurut Arshad, pihaknya mengesahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 8:18 PM