Hayati Ibrahim


DENDAM dipercayai menjadi punca perbuatan khianat yang menyebabkan empat kereta milik Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nor Azman Mat Jini, 59, dan ahli keluarganya terbakar awal pagi semalam.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebelum ini pegawai berkenaan bertugas di bahagian penguatkuasaan Unit Siasatan Frod (Penipuan) Perdagangan dan baru beberapa bulan berpindah ke Bahagian GST.

"Jadi (perbuatan khianat) tiada kaitan dengan GST. Ia ada kaitan dengan bahagian penguatkuasaan, kerana pegawai ini biasa menangkap banyak kes yang membabitkan barangan bercukai tinggi seperti rokok dan arak.

"(Malah) baru-baru ini sebelum berpindah (bahagian) pegawai ini berjaya menumpaskan beberapa sindiket yang membawa masuk barangan bernilai berjuta ringgit dan tak bayar duti import," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Majlis sambutan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Seri Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam.

Dalam kejadian 3.30 pagi semalam, dua kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Mercedes Benz milik anak perempuan dan isteri mangsa musnah sepenuhnya manakala dua lagi iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantu mangsa terbakar di bahagian depan.

Kejadian berlaku di hadapan rumah teres dua tingkat yang juga kuarters kerajaan di Presint 11, Putrajaya.

Johari berkata, anggota dan pegawai kastam sememangnya terdedah kepada ancaman jenayah.

"Disebabkan itu, kita sentiasa memantau kerana tidak mahu mana-mana aktiviti gelap menjejaskan peranan kastam untuk memantau sistem percukaian dalam negara.

"Pada masa sama, kita mengingatkan mana-mana pegawai atau anggota yang menerima ugutan supaya membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan tanpa tunggu perbuatan tidak diingini berlaku," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Berita berkaitan

Kejutan sebelum persaraan

4 kenderaan pegawai kanan Kastam dibakar? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 10:19 PM