MAZLAN (kiri) melawat lokasi kebakaran bersama Rosly. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


POLIS akan melihat semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kebakaran empat kenderaan milik Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Presint 11, Putrajaya bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai insiden berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, berdasarkan kenyataan saksi kejadian, mereka memaklumkan melihat lebih tiga suspek mencurigakan sebelum insiden kebakaran berkenaan.

"Kami akan lihat semua sudut CCTV yang ada di kawasan perumahan berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk jenis kenderaan yang dinaiki suspek," katanya ketika ditemui media selepas melawat lokasi kebakaran berkenaan, hari ini.

Mazlan meluangkan masa kira-kira 10 minit di lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian itu.

Beliau turut ditemani Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan dan mangsa kejadian yang juga Penolong Pengarah Kanan Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nor Azman Mat Jini, 59.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan siasatan penuh mengenai insiden berkenaan dan tidak akan memberi peluang kepada suspek melepaskan diri.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau juga mahu orang awam yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat sekali gus membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Ditanya sama ada insiden berkenaan ada kaitan dengan tugas dan kerja yang dipegang oleh mangsa, Mazlan berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu secara terperinci.

Berita berkaitan

Dendam punca kereta dibakar

Kejutan sebelum persaraan

4 kenderaan pegawai kanan Kastam dibakar? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 10:53 PM