KENDERAAN milik Sabapathy hangus dalam kebakaran.
HM Digital

Pasir Gudang: “Saya tidak tahu bagaimana kejadian ini berlaku dan hanya terdengar bunyi letupan dari luar rumah,” kata Ketua Bahagian MIC Pasir Gudang, R Sabapathy mengenai kebakaran dua kereta milik keluarganya di depan rumah di Jalan Selasih 3, Taman Pasir Puteh di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, dua kenderaan masing-masing Mercedes-Benz milik Sabapathy dan Proton Iswara milik menantunya hangus.

Sabapathy berkata, kejadian itu disedari ketika dia menonton televisyen di rumah.

“Ketika menonton berita sukan saya dikejutkan bunyi letupan kuat di luar rumah. Saya bergegas keluar rumah dan terkejut apabila mendapati bahagian depan kereta terbakar,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian kebakaran merebak ke belakang kereta menyebabkan dia cuba memadamkan api menggunakan getah paip sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

“Keadaan semakin panik apabila kebakaran turut membabitkan kereta menantu dan apabila bomba tiba, mereka gagal menyelamatkan kedua-dua kereta kerana api marak dengan pantas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:41 AM