Nurul Fhatihah Zakinan


PEMUDA yang juga penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan mencuri sarang lebah kelulut bernilai RM5,000 di Ladang Felcra, Tebing Tinggi di Bukit Bayan, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Rifa'ie Mohd Nor, 25, dari Taman Air Molek, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Rifa'ie dengan niat curang mencuri sarang lebah kelulut bernilai RM5,000 milik bapa pengadu, Mohd Shairazi Othman, 30, tanpa kerelaannya, di Ladang Felcra, Bukit Tinggi, 5 pagi, di Bukit Bayan, 19 Januari lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


TERTUDUH, Ahmad Rifa'ie Mohd Nor, 25, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret. FOTO Rasul Azli Samad

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh, namun Ahmad Rifa'ie yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan berikutan dia perlu menjaga ibunya yang sakit.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak, Norina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac sebagai tarikh lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:58 PM