Izlaily Nurul Ain Hussein


SURI rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan membunuh suaminya, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Turut dihadapkan ke mahkamah itu, anak lelaki tertuduh berusia 17 tahun bersama dua rakan remaja itu yang berusia 18 tahun dan semuanya adalah pesalah muda.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh semua tertuduh di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian mangsa berusia 46 tahun, di rumah di Taman Nusa Bestari, Johor Bahru antara 9.30 pagi hingga 10 pagi, 17 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh yang juga dua beranak diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad mewakili seorang daripada tertuduh dan seorang lagi tidak diwakili peguam.

Seorang wanita bersama anak lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas pertuduhan membunuh suaminya, dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Nusa Bestari, dekat sini pada 17 Januari lalu.NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:22 PM
WANITA bersama anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas pertuduhan membunuh suaminya, dalam kejadian di rumah di Taman Nusa Bestari pada 17 Januari lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin