Kakitangan JHL Sabah menunjukkan empat potong sisi penyu hijau yang ditemui dalam bot tertuduh. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Kakitangan JHL Sabah menunjukkan empat potong sisi penyu hijau yang ditemui dalam bot tertuduh. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Norasikin Daineh dan Nasrawati Syarifuddin


LELAKI Filipina dihukum penjara tiga tahun dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki empat potong sisi cengkerang penyu hijau di perairan Pulau Kerindingan, Semporna, bulan lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Karan Dati, 31, dan memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun lagi, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki empat potong sisi cengkerang penyu hijau (Chelonia Mydas) di perairan Pulau Kerindingan, Semporna, 1.30 pagi, pada 14 Januari lalu.

Penyu itu adalah haiwan dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(4) enakmen sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Abdul Karim Dakog manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna memintas bot yang dinaiki tiga individu termasuk tertuduh.

Mereka dipercayai menjalankan aktiviti menangkap penyu. Bagaimanapun, seorang suspek melepaskan diri.

Pemeriksaan lanjut di dalam bot itu mendapati peralatan yang disyaki digunakan untuk menangkap penyu dan empat potong sisi cengkerang penyu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:45 PM