Shamsul (dua dari kiri) bersama Isnin (tiga dari kanan) memerhatikan pasukan Medic BiKUM memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma di Beaufort, hari ini. FOTO/ Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus

LEBIH RM1 juta diperuntukkan Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) bagi membantu pesakit kronik di seluruh negara menerusi program UMNO Bantu Rakyat 2.0.

Pengerusi BiKUM yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukan itu disediakan kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan.

“Sehingga kini sudah lebih 100 pesakit kronik di seluruh negara menerima bantuan daripada BiKUM.

“Ia merangkumi bantuan berbentuk pemberian sekali, bulanan, peralatan atau membayar kos rawatan dan bantuan lain,” katanya pada majlis UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Kampung Rancangan KLIAS Beaufort, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan dan Hal Ehwal Masyarakat Sabah yang juga Pengerusi BiKUM Sabah Datuk Jainab Ahmad Aib dan Ketua UMNO Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.


Penerima bantuan ceria bergambar kenangan di Kampung Rancangan KLIAS Beaufort. FOTO/ Rosela Ismail

Pada majlis berkenaan, BiKUM turut menyerahkan sumbangan RM100,000 bagi membantu 1,000 pelajar sekolah rendah dari kawasan Beaufort membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi).

Selain itu, BiKUM juga menyumbang RM120,000 menerusi bantuan kit makanan dan keperluan harian kepada lebih 1,000 keluarga yang memerlukan sekitar Beaufort.

Turut disediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma oleh pasukan Medic BiKUM, kaunter informasi SSPNi dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta khidmat servis motosikal percuma oleh Giat MARA.

Sementara itu, siri jelajah BiKUM UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Sabah yang bermula sejak Isnin lalu hampir mencapai penghujungnya.

Rombongan konvoi sebanyak 15 kenderaan pacuan empat roda itu mengunjungi enam bahagian iaitu Libaran dan Batu Sapi di Sandakan, Semporna, Tenom, Beaufort dan Kota Belud.

Ia melewati beberapa daerah seperti Lahad Datu, Tawau, Keningau, Papar dan Kota Kinabalu sebelum singgah ke lokasi terakhir di Kota Belud, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 6:28 PM