Muhammad Hanif (kanan) menunjukkan peralatan memotong dan kabel yang dicuri Geng Oli. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menahan lima suspek Geng Oli yang terbabit dalam kegiatan curi kabel Telekom Malaysia (TM) di lokasi berasingan di Kampung Pundut, Lumut, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, lima lelaki itu berusia antara 20 hingga 27 tahun ditahan 8 malam hasil risikan anggotanya.

Menurutnya, kumpulan itu aktif melakukan kegiatan curi kabel di sekitar kawasan Lumut, Ayer Tawar dan Sitiawan.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati kumpulan itu sudah lama mencuri kabel dengan modus operandi melakukan kegiatan itu pada tengah malam dan membakar kabel pada awal pagi sebelum menjualnya kepada kedai besi buruk pada waktu pagi.

“Kita juga sudah mengenal pasti kedai yang menjadi lokasi kabel itu dijual dan tindakan lanjut juga akan diambil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Manjung hari ini.

Katanya, penahanan kumpulan itu turut menyelesaikan tujuh kes kecurian kabel yang dipercayai didalangi ahli kumpulan itu di sekitar daerah ini.

“Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan dan kita percaya masih ada lagi saki baki ahli kumpulan ini yang masih aktif dan kita sedang mengesan mereka.

“Lima lelaki itu masing-masing tidak berkerja dan ujian saringan air kencing turut mendapati mereka positif heroin," katanya.

Muhammad Hanif berkata, turut dirampas sebuah Proton Iswara, motosikal Yamaha Ego, peralatan yang digunakan untuk memotong kabel dan lebihan kabel yang sudah dibakar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 431(A) Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam dan dengan penahanan kumpulan ini juga kita percaya dapat melumpuhkan kegiatan curi kabel," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Hanif berkata, setakat ini sebanyak empat kes Macau Scam atau penipuan wang melalui telefon berlaku di Manjung sejak awal tahun ini.

"Semua mangsa berusia antara 30 hingga 50 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang membabitkan kerugian sebanyak RM114,240.

"Bagi kes penipuan pembelian atas talian sebanyak lima kes membabitkan pembelian barangan seperti telefon bimbit dan peralatan elektronik dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM52,060 sejak awal tahun ini," katanya.

Beliau berkata, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mempunyai rasa curiga supaya tidak mudah terpedaya biarpun ditawarkan dengan harga yang murah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 6:51 PM