Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut Modi. Turut sama, Presiden India, Ram Nath Kovind (kiri) dan isteri, Savita Kovind serta Naib Presiden India, Venkaiah Naidu (tiga, kiri) dan isteri, M Usha di Istana Presiden.
BERNAMA

New Delhi: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin lawatan kerja dua hari ke India akan membawa hubungan ASEAN-India dan Malaysia-India ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau yang kini berada di ibu negara India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India berkata, banyak perkara yang akan dibincangkan dan diketengahkan pada sidang kemuncak kali ini.

“Antaranya membabitkan pelaburan, kesalinghubungan, keselamatan dan pertimbangan geopolitik.

“Jika sekiranya lawatan saya yang lalu menghasilkan komitmen pelaburan berjumlah RM158 bilion pada jangka masa panjang, saya yakin lawatan kali ini akan membawa hubungan ASEAN-India dan Malaysia-India ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam video singkat yang dimuatnaik di laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Najib berkata, walaupun mempunyai jadual padat sepanjang lawatan ini, beliau yakin semua yang dirancang berjalan lancar.

Ini kunjungan keempat Najib ke India selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009 dengan yang terakhir kurang setahun lalu apabila beliau mengadakan lawatan rasmi dari 30 Mac hingga 4 April yang membawa beliau ke Chennai, Jaipur dan New Delhi.

Kunjungan itu juga atas jemputan rakan sejawatannya Narendra Modi.

Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 hubungan dialog blok berkenaan dengan negara itu.

Selain Najib, semua sembilan pemimpin negara ASEAN–Indonesia, Singapura, Vietnam, Thailand, Myanmar, Filipina, Brunei, Laos dan Kemboja turut hadir menjayakan sidang kemuncak dan dijadual menghadiri perarakan Hari Republik India ke-69 sebagai tetamu kehormat pada Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 3:31 AM