AHMAD Zahid mempengerusikan Mesyuarat HHLC Mengenai Perumahan.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kerajaan menerusi Jabatan Perumahan Negara bercadang menetapkan satu kadar faedah pinjaman perumahan lebih rendah sebagai langkah mengurangkan beban kewangan rakyat.

Perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Mengenai Isu-Isu Perumahan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, cadangan berkenaan dibawa Bank Negara Malaysia (BNM) dan ia dipersetujui HLC termasuk barisan menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan agensi dan jabatan berkaitan.

Menurutnya, wakil daripada BNM juga akan membentangkan cadangan berkenaan diperingkat Kabinet dalam masa terdekat.

“Kertas kerja cadangan berkenaan dibentangkan BNM dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Kerajaan berharap kadar faedah pinjaman yang kompetitif dapat ditetapkan. Selepas ia ditetapkan, bank komersial perlu mematuhi kadar faedah yang sudah ditetapkan oleh BNM mengikut Akta Institusi Kewangan dan Perbankan 1989,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat HLC berkenaan, semalam.

Katanya, kerajaan akan memastikan kadar yang ditetapkan bersesuaian dan tidak membebankan pemilik rumah.

Ketika ini, Singapura menetapkan kadar faedah pinjaman perumahan paling rendah di rantau ini dengan 1.45 peratus berbanding Australia (5.33 peratus) dan Malaysia pula adalah 4.65 peratus.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan prihatin dengan beban ditanggung rakyat terutama disebabkan kos perumahan yang semakin meningkat justeru, beberapa langkah proaktif diambil dengan kerjasama kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat sama mempertimbangkan dan bersetuju dengan syor lima teras, 17 dasar dan 66 pelan tindakan sebagaimana digariskan mengikut Dasar Perumahan 2.0 (DRN 2.0).

Menurutnya, antara syor berkenaan termasuk cadangan baru bagi penyelesaian isu pelaksanaan Rumah Mampu Milik (RMM) seperti memberi galakan sama ada dalam bentuk pengecualian atau insentif kepada pemaju pembinaan RMM.

“Syor lain termasuk mengadakan mekanisme kawalan aktiviti spekulasi harga rumah, meningkatkan program bantuan pembiayaan oleh kerajaan dan menurunkan kadar faedah dalam pinjaman perumahan yang ditawarkan institusi kewangan.

“Selain itu, BNM turut mencadangkan untuk mewujudkan pangkalan data bersepadu dan melaksanakan inisiatif berpusat bagi rumah mampu milik serta menjadikan sewaan rumah kediaman sebagai salah satu alternatif yang boleh dilaksanakan melalui penggubalan Akta Penyewaan dan Tribunal Penyewaan,” katanya.

Katanya, perumahan adalah salah satu keperluan asas dan kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan perumahan yang berkualiti serta mampu dimiliki bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara.

Namun, katanya, komitmen sepenuhnya oleh semua pihak khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan juga pihak swasta adalah amat penting dalam merealisasikan DRN 2.0 ke arah memastikan perumahan di Malaysia yang berkualiti dan mampu milik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 3:42 AM