DR Asmah (dua kanan) dan Dr Siti Zaleha (dua kiri) melawat pesakit di PHDU di Hospital Selayang.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Pembukaan Unit Dependensi Tinggi Paediatrik (PHDU) Hospital Selayang menurunkan 80 peratus kadar kanak-kanak yang memerlukan bantuan tiup pernafasan disebabkan penggunaan non invasive ventilation.

Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata, ia sekali gus membawa kepada penurunan Lenght of Ventilation (LOV) daripada sembilan hari kepada empat hari dan penurunan Lenght of Stay (LOS) daripada 24 hari kepada tujuh hari.

Beliau berkata, sejak pembukaan PHDU pada 2 Januari tahun lalu, 218 kanak-kanak diberikan rawatan intensif di unit rawatan berkenaan yang membabitkan bantuan mesin pernafasan, ubat dan pemantauan klinikal yang sangat rapi.

“Seperti kita sedia maklum, tidak semua hospital di negara ini dilengkapi infrastruktur yang mampu memberikan perkhidmatan sebagai Unit Rawatan Rapi Paediatrik (PICU).

“Di Selangor, perkhidmatan ini hanya boleh didapati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang dengan jumlah 10 katil apabila rawatan kes pesakit jantung congenital menjadi tumpuan utama Hospital Serdang,” katanya pada Majlis Perasmian PHDU di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datin Seri Dr Asmah Samat. Turut hadir Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Selangor Profesor Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Menurut Siti Zaleha, sebelum penubuhan PHDU, pesakit kanak-kanak yang tenat dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Awam yang turut menempatkan pesakit dewasa dengan pelbagai masalah.

“Jika ada kekangan katil di ICU itu, pesakit dipindahkan ke hospital kerajaan atau hospital universiti lain yang mempunyai fasiliti sama sekali gus meningkatkan risiko pesakit berkenaan selain mengganggu tugasan warga kerja di hospital kami.

“Namun, sekarang dengan adanya PHDU ini, tiada lagi pesakit kanak-kanak yang perlu dipindahkan malah ia menjimatkan kos hospital,” katanya.

Penubuhan unit itu hasil kerjasama KKM dan Fakulti Perubatan UiTM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menempatkan empat katil untuk pesakit kanak-kanak yang memerlukan rawatan kritikal dan semi kritikal.

Unit itu dilengkapi peralatan canggih bersesuaian keperluan rawatan intensif hasil sumbangan UiTM, syarikat korporat dan penderma berkumpulan serta individu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 3:53 AM