KANG di Mahkamah Majistret Kuala Langat, semalam.
KANG di Mahkamah Majistret Kuala Langat, semalam.
Siraj Mohd Zaini

Kuala Langat: Pekerja kilang perabot yang juga orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh empat sekeluarga serta mendatangkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak menggunakan pisau di Tanjung Sepat pada Disember lalu.

Tertuduh Kang Chang Heng, 39, yang juga OKU pendengaran dan pertuturan mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan menggunakan bahasa isyarat di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas lima pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa membunuh Chia Tee Nang, 73, dan isterinya Lim Mai Shak, 68, serta dua cucu lelaki mereka iaitu Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan pisau kepada seorang kanak-kanak lelaki Andrew Chia Zeng Haol, 12.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah kediaman di No 72, Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat antara jam 4 hingga 5 pagi, 13 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chin Huat.

Terdahulu, Chin Huat memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dirujuk ke pakar psikiatri mengikut Seksyen 342(3) Kanun Prosedur Jenayah kerana disyaki mengalami masalah mental.

Bagaimanapun, Mohd Isa tidak membenarkannya dan memerintahkan peguam Kang untuk mengemukakan laporan perubatan tertuduh bagi menyokong permohonannya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 8 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 4:15 AM