SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat di Majlis Penganugerahan Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak di Dewan Bankuet Bagunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Affendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak 2018 kepada 362 penerima, hari ini.

Antara penerima adalah Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamad Radzi dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mat Lazim Idris.

Kedua-duanya dianugerahkan Pingat Semangat Rimba Kelas Kedua Perak yang juga anugerah keempat tertinggi PPM dan disampaikan hanya kepada tokoh yang memberi perkhidmatan serta bakti terpuji kepada pergerakan pengakap.

Anugerah Sijil Pengakap Raja pula disampaikan kepada 311 penerima membabitkan enam penuntut Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 1998 dan 305 ahli PPM Perak tahun 2014, 2015 dan 2016.

Terdahulu keberangkatan tiba Sultan Nazrin di majlis penganugerahan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, disambut Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Mohd Shafie Mohd Salleh dan diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merangkap Yang Dipertua PPM Perak.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Naib Yang Dipertua PPM Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 1:47 PM