SULTAN Nazrin di Majlis Penganugerahan Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak.
HM Digital

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan bintang, pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak 2018 kepada 362 penerima di sini, semalam.

Antara penerima adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamad Radzi dan Pengarah Pendidikan negeri Datuk Mat Lazim Idris.

Kedua-duanya dianugerahkan Pingat Semangat Rimba Kelas Kedua Perak yang juga anugerah keempat tertinggi PPM dan disampaikan hanya kepada tokoh yang memberi perkhidmatan serta bakti terpuji kepada pergerakan pengakap.

Anugerah Sijil Pengakap Raja pula disampaikan kepada 311 penerima membabitkan enam bekas penuntut Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 1998 dan 305 ahli PPM Perak tahun 2014, 2015 dan 2016.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Nazrin di majlis penganugerahan yang diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh disambut Ketua Pengakap Negara Tan Sri Dr Mohd Shafie Mohd Salleh dan diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merangkap Yang Dipertua PPM Perak.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Naib Yang Dipertua PPM Perak.

Dr Mohd Shafie dalam ucapannya berkata, PPM yang ditubuhkan dengan diperbadankan mengikut Akta Parlimen 784 (1968) semakan 2016 adalah satu pertubuhan badan sukarela yang berteras untuk membentuk modal insan supaya memiliki nilai murni.

“Pergerakan PPM juga mendapat perhatian negara luar sebaik Ibu Pejabat Pengakap Sedunia (WOSM) berpindah dari Geneva ke Kuala Lumpur pada Mei 2014 yang mana ia mempunyai gabungan 164 negara termasuk Malaysia dengan keahlian seramai 44 juta ahli,” katanya pada majlis berkenaan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:16 AM