NOORJAHAN menunjukkan e-mel diterimanya memaklumkan dia memenangi Pearson ELT Teacher Award untuk kategori Asia dan Oceania 2018.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Tinggal beberapa jam sebelum penyertaan ditutup sebelum sempat menghantar video rakamannya melalui e-mel ternyata menjadi tuah buat guru prasekolah Noorjahan Sultan apabila dia diangkat pemenang Pearson ELT Teacher Award bagi kategori Asia dan Oceania bagi 2018.

Guru berusia 47 tahun itu berkata, dia tidak menyangka namanya dinobatkan sebagai pemenang kerana menerima saingan sengit daripada warga pendidik di seluruh dunia.

Kata ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia hanya menghantar penyertaannya yang tinggal beberapa jam sebelum tarikh penyertaan ditutup tepat jam 12 tengah malam pada 31 Disember lalu.

Noorjahan berkata, untuk menyertai pertandingan itu, dia perlu menjawab dua soalan diberikan penganjur dalam bentuk video yang dirakam sebelum dihantar menerusi e-mel.

“Video yang saya buat memang sangat biasa jika hendak dibandingkan dengan video dihantar tenaga pengajar lain dari seluruh negara. Cuma saya ada selitkan sedikit kreativiti dalam penyampaian sebelum menjawab soalan yang dikemukakan.

“Memang tidak sangka saya dipilih selaku pemenang kerana difahamkan, ribuan video penyertaan dihantar kepada penganjur yang masing-masing memberikan jawapan mengenai soal pendidikan,” katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan di Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang berkata, pada mulanya dia berputus asa untuk memenangi pertandingan itu kerana kategori undian awam yang pada mulanya dipertandingkan dibatalkan pada saat akhir dan hanya kategori juri yang dikekalkan.

Namun, beliau tidak menyangka dugaan yang dialaminya membuatkan dia terpilih menjadi juara bagi kategori pilihan juri untuk Pearson ELT Teacher Award bagi kategori Asia dan Oceania bagi 2018 sebelum keputusan itu diumumkan malam kelmarin.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan selama 23 tahun adalah pelopor modul pembelajaran Bahasa Inggeris Let’s Rhyme yang berjaya memenangi anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Antara pencapaian lain yang pernah dirangkulnya ialah Ikon Guru Kebangsaan 2016 dan pernah menjadi finalis Anugerah Guru Global 2016 selain beberapa pengiktirafan antarabangsa.

Sejak dimuat naik penganjur di laman sesawang YouTube kira-kira dua minggu lalu, video rakaman itu mendapat lebih 8,000 tontonan dan video berdurasi dua minit itu turut dijadikan promosi kepada pertandingan berkenaan oleh penganjur.

“Selepas memenangi pertandingan ini, saya akan ditaja untuk ke Brighton, United Kingdom bagi menghadiri persidangan The International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) atau ke persidangan Teaching English to Speakers of Other Languages (TESOL) yang akan berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat pada 10 hingga 13 April ini,” katanya.

Anak jati kelahiran Kuantan itu berharap pencapaiannya sebagai anak Malaysia pertama memenangi anugerah terbabit menjadi pemangkin semangat kepada warga pendidik untuk terus komited memberikan sesi pembelajaran kepada murid dan pelajar masing-masing mengikut gaya tersendiri.

Katanya, modul Let’s Rhyme yang diperkenalkannya sejak 10 tahun lalu kini turut diguna pakai di sebuah institusi pendidikan di Brunei yang menekankan pembelajaran Bahasa Inggeris secara mendidik dan berhibur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 6:36 AM