ANGGOTA penguat kuasa JPN bertanya sesuatu kepada pasangan suami isteri warga asing yang ditahan.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Sepasang suami isteri warga asing dikesan tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri hampir 20 tahun, namun berjaya menyekolahkan lima anak mereka di sekolah kerajaan tanpa masalah.

Lelaki warga Filipina berusia 40-an dan wanita warga Indonesia berusia 29 tahun itu mendakwa kelima-lima anak mereka mempunyai dokumen surat beranak yang sah namun pemeriksaan lanjut dilakukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati pasangan terbabit menggunakan identiti individu lain untuk menjalankan urusan mendapatkan surat beranak semua anak mereka.

Dalam Op ID JPN Melaka yang dilakukan bersama Jabatan Imigresen Malaysia Melaka, serbuan dilakukan di sekitar Sungai Udang, di sini, bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi, semalam.

Dalam serbuan ke atas sebuah rumah jam 12.30 tengah malam di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, ada dua lelaki dan seorang wanita dewasa selain empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan menetap di situ.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 60-an warga Filipina mengaku tiada ikatan kekeluargaan dengan yang lain, namun tidak mempunyai dokumen sah sejak tinggal di negeri ini empat bulan lalu.

Pasangan suami isteri terbabit juga mengaku tidak memiliki dokumen perjalanan.

Begitupun, semua lima anak mereka berusia 13, 10, 9, 8 dan 6 tahun masing-masing memiliki surat beranak.

Pengarah JPN Melaka Norazle Sulaiman berkata, hasil siasatan mendapati pasangan terbabit menggunakan identiti orang lain ketika mendaftar kelahiran anak mereka hingga berjaya masuk ke sekolah.

“Surat beranak yang ditunjukkan adalah tidak sah dan kelapan-lapan mereka kami serahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun dalam serbuan ini, kami menemui surat beranak yang disalin dalam cetakan berwarna dipercayai palsu selain beberapa salinan kad pengenalan individu lain yang namanya sama seperti yang tertera dalam surat beranak ditemui,” katanya.

Menurutnya, wanita Indonesia yang kini mengandung empat bulan itu juga dipercayai menggunakan salinan kad pengenalan individu lain untuk mendapatkan suntikan vaksin ke atas anaknya sebelum ini berdasarkan maklumat pada buku suntikan vaksin ditemui.

Norazle berkata, dalam operasi terbabit, 14 rumah diperiksa dan JPN mengambil tindakan ke atas dua lelaki warga Filipina di kampung yang sama atas kesalahan memiliki kad pengenalan milik orang lain.

“Dua lelaki terbabit berusia 43 hingga 51 tahun disiasat mengikut Peraturan 25(1)b APN 1959,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 7:16 AM