Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas 880 kilogram ketamin dan heroin bernilai RM18 juta dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, Selangor pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk T Subromaniam berkata, pihaknya menerima maklumat awam sebelum menyerbu premis yang dijadikan sebagai stor pada 11.30 malam.

Katanya, sebaik tiba 14 lelaki dan tiga wanita warga asing didapati sedang memunggah guni-guni dari dua kontena untuk dimasukkan ke dalam premis terbabit.


Subromaniam (tiga dari kanan) menunjukkan dadah bernilai RM18 juta yang dirampas dalam dua kontena di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad

"Hasil penahanan 17 suspek, anggota kastam turut menahan seorang lagi lelaki warga asing dalam sebuah kereta di sebuah restoran berhampiran.

“Kesemua 18 suspek itu membabitkan 10 warga Pakistan, empat Myanmar dan empat Indonesia berusia 18 hingga 50 tahun," katanya pada sidang media di pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan Tengah, Nilai, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas enam guni bertulisan Pakistan Natural Iodine Salt menemui ketamin seberat 114 kg, manakala 766 kg heroin pula ditemui dalam 31 guni bertulisan sama.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 12:24 PM