Kakitangan JHS memasang peralatan sensor untuk pemetaan hutan di Sarawak menggunakan helikopter.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Petra Jaya: Empat bahagian di Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti pembalakan haram kerana masih mempunyai khazanah alam bernilai tinggi yang menjadi idaman petualang belantara.

Hutan di Tatau Bintulu, Hilir Rejang di Sibu, Hulu Rejang di Kapit dan Miri antara kawasan dilihat masih menjadi pilihan pembalak haram memandangkan masih terdapat hutan dara selain khazanah alam mempunyai nilai komersial tinggi.

Untuk rekod, keluasan keseluruhan hutan di Sarawak adalah lapan juta hektar merangkumi 64 peratus kawasan keseluruhan negeri ini membabitkan enam juta hektar digazetkan bagi pengeluaran balak manakala masing-masing satu juta hektar untuk Taman Negara dan Hidupan Liar serta hutan simpan.

Pemangku Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Hamden Mohammad berkata, berdasarkan risikan dan pemantauan aktiviti pembalakan haram ini kebanyakannya berlaku di kawasan yang tanahnya dibuka untuk pertanian dan pembangunan seperti pembinaan lebuh raya.

Menurutnya, hasil risikan dan penelitian, JHS mendapati ada pihak menjadikan kawasan digazetkan untuk pembangunan dan pertanian sebagai peluang mengeluarkan balak bernilai tinggi tanpa membayar cukai kepada kerajaan negeri.

Katanya, Sarawak sebagai sebuah negeri progresif dan pesat dalam pembukaan tanah baru untuk aktiviti pertanian dan pembangunan membabitkan kawasan hutan.

“Kami dapati pembukaan hutan bagi pembangunan dan pertanian pesat menyebabkan ada pihak didapati membalak secara haram dengan mengeluarkan hasil hutan tanpa mendapat kebenaran.

“Walaupun untuk tujuan berkenaan (pertanian dan pembangunan), proses mengeluarkan balak itu perlu mendapat kebenaran seterusnya cukai premium perlu dibayar kepada JHS,” katanya ketika ditemui di Wisma Sumber Alam, di sini.

Katanya, bagi melancarkan operasi penguatkuasaan, JHS kini semakin melangkah ke hadapan dalam mengaplikasi teknologi memandangkan kaedah itu terbukti lebih efektif berbanding kaedah sebelum ini yang hanya menggunakan jalan darat dan sungai seperti sebelum ini.

“Teknologi sensor bersama penggunaan helikopter dan pesawat pemantau dalam operasi penguatkuasaan menggagalkan aktiviti pembalakan haram daripada terus berleluasa terutama di kawasan pedalaman yang keadaan muka bumi begitu mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, Hamden berkata, JHS membatalkan lesen bagi kilang kayu yang sebelum ini dibenarkan beroperasi di kawasan hutan kerana ada dikesan menyalahgunakan lesen dengan memproses balak diperoleh secara haram.

Katanya, kini hanya empat kilang utama di Sibu, Miri dan masing-masing dua di Bintulu yang diberikan lesen untuk memproses balak menjadi kayu di dalam kawasan hutan kerana penelitian mendapati mereka mengikut prosedur ditetapkan.

“JHS juga mendapati ada pemilik tanah bersekongkol dengan pembalak haram dengan menawarkan harga tertentu bagi membolehkan balak dari kawasan mereka khususnya Tanah Adat Bumiputera (NCR) ditebang dan dikeluarkan tanpa kebenaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:27 PM