ANGGOTA polis dibantu orang ramai mengangkat motosikal mangsa.
ISTERI mangsa (kiri) ditenangkan sebaik melihat mangsa di tempat kejadian.

Dungun: “Dia sanggup korbankan nyawanya demi seekor kucing,” kata Mohamad Adynuar Mohamad Zoki, 29, saksi kemalangan mengorbankan seorang polis bantuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jalan Gong Pasir-Balai Besar di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, Lans Koperal Ros Shaari Abdullah, 34, yang tinggal di Kampung Paya Balai Besar, Dungun maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Honda C70 dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja.

Setibanya di tempat kejadian, mangsa dilihat mengelak seekor kucing yang melintas di situ.

Tindakannya itu menyebabkan motosikalnya terbalik dan mangsa tercampak.

Pada masa sama, sebuah Nissan Almera dipandu seorang pembantu farmasi yang berada di belakang gagal mengelak lalu menggilis mangsa.

Mohamad Adynuar berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya berada di situ untuk melintas jalan menghantar kuih jualannya di sebuah gerai tidak jauh dari situ.

“Saya nampak seekor kucing tiba-tiba melintas jalan di situ dan mangsa pantas mengelak daripada melanggar haiwan berkenaan menyebabkan motosikalnya terbalik dan dia tercampak ke atas jalan.

“Ketika itu cuaca masih gelap dan sekelip mata sebuah kereta di belakang gagal mengelak lalu menggilis mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia berlari mendapatkan mangsa yang ketika itu sudah nazak.

“Saya lihat darah membuak-buak keluar daripada kepalanya. Saya tak sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebab perlu kawal lalu lintas kerana bimbang dia digilis kenderaan lain pula.

“Bagaimanapun, saya sempat pesan kepada beberapa orang yang baru keluar dari surau berdekatan mengajarnya mengucap dan memanggil ambulans,” katanya.

Abang mangsa, Rosmadi Abdullah, 38, berkata, beberapa hari lalu, arwah adiknya itu ada bertemunya dan berhasrat mengadakan kenduri arwah untuk kedua ibu bapa mereka.

Katanya, kejadian berkenaan menambah kesedihan yang ada kerana dalam tempoh tiga bulan terakhir, dia menerima berita kematian ibu bapa dan adik.

“Ïbu, Minah Mohamad, 67, meninggal dunia pada Oktober tahun lalu diikuti arwah ayah Abdullah Said, 67, pada bulan lalu dan hari ini adik pula pergi menghadap Ilahi.

“Saya tak sangka niat arwah bertemu untuk membincangkan majlis tahlil arwah kedua ibu bapa kami yang dijangka diadakan dalam tempoh seminggu dua ini rupanya untuk dirinya sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:29 PM