LELAKI berusia 40 an yang disyaki mencabul kanak -kanak perempuan berusia 7 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk direman enam hari lagi. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


TEMPOH reman lelaki yang mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di dalam kawasan 'Fun Fair' di Taman Ria, Sungai Petani, pada 21 Januari lalu disambung enam hari lagi.

Suspek berusia 40-an yang berseluar pendek dan berbaju T berwarna kuning dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani menaiki kenderaan polis kira-kira 9 pagi.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin kemudian membenarkan permohonan polis menahan reman suspek selama enam hari bermula hari ini sehingga 4 Februari depan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, suspek sebelum ini direman tujuh hari hingga hari ini selepas ditahan pada petang Isnin minggu lalu.

"Reman ke atas suspek disambung enam hari lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dihubungi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis Kuala Muda memburu lelaki berusia 40-an kerana mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ketika membawa mangsa ke tempat mainan 'Fun Fair' berhampiran Taman Ria.

Perbuatan suspek terbongkar selepas video dia memeluk dengan tangannya dimasukkan ke dalam baju mangsa tular di media sosial.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan pada 2.52 pagi Isnin di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dan suspek ditahan 3.10 petang hari sama ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat cedera dipukul.

Berita berkaitan

Lelaki keji cabul budak 7 tahun diburu

[UPDATE] Lelaki keji cabul budak dicekup

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 4:14 PM