IBU bapa Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros dan Hawa Osman hadir ke mahkamah.
Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan dalam kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dipercayai akibat didera akan membuktikan melalui saksi pakar perubatan forensik bahawa mangsa mengalami beberapa kecederaan pada badan dan sebab kematian adalah luka bakar teruk.

Pengarah Pendakwaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam berkata pihak pendakwaan akan membuktikan kematian Zulfarhan Osman berpunca daripada dipukul, ditendang dan ditekap dengan seterika wap sehingga mangsa mengalami komplikasi luka lecur yang meliputi hampir 80 peratus permukaan badannya.

“Mangsa dipukul beberapa jam ketika soal siasat di bilik 03-05 pada 21 Mei 2017 bagi mendapatkan pengakuan berhubung dakwaan mencuri komputer riba sebelum mangsa sekali lagi disoal siasat keesokannya,” katanya.

Dalam kes itu lima penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri didakwa membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Seorang lagi penuntut, Abdoul Hakeem Mohd Ali turut didakwa bersubahat membunuh dengan lima tertuduh itu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba dan pertuduhan terhadap semuanya dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun tahun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 6:24 AM