Dadah yang dirampas daripada suspek. Gambar Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


GAYA hidup mewah seorang tokan dadah berakhir apabila dia ditangkap polis ketika mahu mengedar bahan larangan itu di kawasan Lui, Jempol, 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis yang melakukan intipan mencekup suspek ketika duduk di atas sebuah motosikal di sebuah stesen minyak Felda Lui Muda.

Katanya, lelaki berusia 28 tahun itu yang terkejut kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal.

"Sebaik ditahan suspek merayu dilepaskan dan mendakwa berada di situ menunggu rakan.

"Pemeriksaan beg pinggang dipakainya menemui heroin seberat 48.67 gram dan syabu seberat 3.65 gram, bernilai RM3,100," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, susulan itu polis menahan teman wanita suspek berusia 29 tahun dipercayai terbabit kegiatan itu.

"Anggota turut merampas motosikal jenis Yamaha R25, jam tangan mewah dan wang tunai berjumlah RM44, 649. Suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 11:20 AM