PEGAWAI Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Asistan Superintenden, Ooi Wei Seng (kanan) bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Alor Setar sedang menanggalkan kotak fius pada Ops Dadu bagi mengekang aktiviti perjudian atas talian dijalankan di sekitar kawasan Gunung Keriang. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


TIGA premis termasuk dua kediaman di Gunung Keriang, Alor Setar yang pernah diserbu polis sebelum ini kerana dipercayai menjalankan kegiatan perjudian termasuk dalam talian, dipotong bekalan elektrik hari ini bagi mengelakkan aktiviti itu diteruskan.

Dalam operasi Ops Dadu yang dijalankan hari ini, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan elektrik di tiga premis terbabit iaitu dua daripadanya diserbu pada 26 Januari lalu dan sebuah lagi bulan lalu.

Ketika operasi, pihak TNB turut mengesan sebuah rumah melakukan penyambungan wayar pada kotak fius untuk menggunakan bekalan elektrik secara haram.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, disebabkan banyak premis bangunan yang menjalankan kegiatan mesin judi diserbu pihaknya, sindiket perjudian dikesan beroperasi di rumah kediaman persendirian bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, ini berikutan ada kediaman yang pernah diserbu sebelum ini kerana menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.

"Sepanjang tahun lalu, 16 premis diserbu di sekitar daerah ini kerana menjalankan aktiviti mesin perjudian dan judi dalam talian yang sudah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.

"Kes itu dilakukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan semuanya adalah rumah kedai.

"Bagaimanapun tahun ini, enam premis termasuk dua daripadanya rumah kediaman yang diambil tindakan sama hari ini," katanya di sini hari ini.

Operasi Ops Dadu bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari dan kebanyakan rumah yang diserbu sebelum ini adalah terdiri daripada rumah sewa.

Mohd Rozi berkata, operasi ini akan diteruskan sebagai langkah untuk mengurangkan aktiviti perjudian di daerah ini.

Beliau berkata, sebaik premis itu diserbu pihaknya akan memohon kepada TNB untuk melakukan pemotongan elektrik sebagai langkah untuk mengelakkan kegiatan itu terus berlaku.

"Justeru itu, orang ramai yang mengetahui sebarang aktiviti perjudian sama ada dalam talian atau premis boleh menyalurkan maklumat kepada pihak kami untuk memudahkan tindakan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 7:16 PM