MARIAM meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas di R&R Kijal, LPT2, hari ini. FOTO Ihsan pembaca


WANITA warga Indonesia yang mengadu sesak nafas ketika berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kijal, Kemaman, meninggal dunia tidak lama kemudian dalam kejadian kira-kira 10 pagi hari ini.

Mangsa yang hanya dikenali Mariam, 41, dikatakan menghembuskan nafas terakhir selepas mengadu sesak nafas kepada suaminya, Tarmizi Jusoh, 33.

Abang kepada Tarmizi, Azman Jusoh, 43, berkata, mangsa dan adiknya itu yang menetap di Kuala Lumpur, dalam perjalanan ke kampung di Setiu.

"Mereka berdua baru saja berkahwin tidak sampai setahun dan ketika kejadian pulang, mereka singgah berehat di R&R terbabit.

"Selepas mengadu sesak nafas, adik segera meminta bantuan dan pegawai perubatan yang datang ke lokasi kejadian mengesahkan isterinya sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, dia dapat tahu kejadian itu setengah jam selepas itu dan bergegas bergegas ke Hospital Kemaman.

"Adik bekerja sebagai juruteknik, manakala arwah isterinya bekerja dengan syarikat sama di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

"Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 9:01 PM