Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September tahun lalu.

Mereka yang kini berusia 17 tahun membuat pengakuan itu sebaik saja semua 23 pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Azman mengingatkan media yang membuat laporan kes itu tidak mendedahkan identiti maklumat pesalah muda kepada umum termasuk nama, tempat tinggal dan sekolah.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Michelle Ng.

GAMBAR Fail. Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Turut hadir peguam pemerhati, Ariff Azami Hussein yang mewakili pusat tahfiz itu dan sebahagian keluarga mangsa.

Terdahulu, Nurakmal Farhan mengemukakan bantahan awal secara lisan kepada mahkamah supaya pihak pembelaan yang diwakili peguam dari firma guaman Tetuan Gobind Singh Deo dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua pesalah muda itu.

“Mana-mana peguam, atau pegawai undang-undang dari firma itu dilarang atau dikecualikan bagi pesalah muda ini dengan alasan firma berkenaan mewakili dua pesalah muda lain di Mahkamah Majistret sebelum ini yang menjadi saksi utama kes.

“Pihak pembelaan mempunyai akses untuk digunakan ketika perbicaraan kelak,” katanya.

Sementara itu, Michelle memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk mendapatkan arahan firma guamannya kerana pihaknya tidak menerima notis berhubung isu itu.

Mahkamah menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 2:20 AM