MOHAMMAD Razin menunjukkan dokumen palsu yang dirampas. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri yang aktif di pantai timur Sabah dengan penahahan wanita di rumah di kawasan perindustrian SEDCO, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, suspek berusia 52 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota JPN dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, suspek diberkas selepas pihaknya menjalankan risikan hampir sebulan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ditahan, pihaknya turut menemui pelbagai bahan bukti seperti sijil lahir dan kad pengenalan palsu.

Menurutnya, pada operasi sama, dua warga asing turut ditahan.

Katanya, wanita tempatan itu dipercayai menyasarkan warga Pakistan, Filipina dan Indonesia sebagai pelanggan utama.

"Dengan penahanan suspek wanita terbabit, kita percaya dapat melumpuhkan jaringan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Sabah," katanya pada sidang media di Sandakan, hari ini.


PELBAGAI dokumen palsu dirampas daripada suspek dalam serbuan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

Sementara itu, Mohammad Razin berkata, pihaknya turut menahan 11 suspek atas pelbagai kesalahan dalam operasi di sekitar Tawau, pada 26 Januari lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan 10 wanita.

"Mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan seperti menyalahgunakan dokumen pengenalan diri milik orang lain, memberikan maklumat palsu semasa penganjuran kad pengenalan serta menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

"Tangkapan seorang suspek utama lelaki di Tawau tersebut juga turut membantu siasatan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diridalam kalangan warga Pakistan," katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Mohammad Razin berkata, pihaknya akan meneruskan operasi sama dari masa ke masa bagi memastikan integriti dokumen pengenalan diri yang juga dokumen paling asas di negara ini tidak disalahguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:49 PM