ANGGOTA Penguatkuasa MPKB-BRI merampas arak di salah sebuah premis di Wakaf Mek Zainab di sini, malam tadi. Foto Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


MAJLIS Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) merampas pelbagai jenis arak, shisha dan set karaoke bernilai lebih RM50,000 dalam operasi tengah malam tadi.

Op Bersepadu Hiburan itu berlangsung tiga jam di beberapa premis dan kedai makan sekitar Kota Bharu yang turut disertai lapan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Ketua Operasi MPKB-BRI, Mohd Halimi Md Salleh berkata, keseluruhannya enam lokasi diperiksa dimulai kedai makan di Kampung Sireh yang membolehkan 24 shisha dirampas.

"Selepas itu, kita melakukan serbuan di salah sebuah premis di Jalan Kebun Sultan kerana membuka pusat hiburan (karaoke) tanpa kebenaran selain membenarkan lelaki bercampur dengan perempuan.

"Satu set audio di premis itu disita dan JAHEAIK mengenakan denda terhadap pengunjung," katanya, hari ini.

Beliau berkata, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah premis perniagaan di Wakaf Mek Zainab kerana menjual minuman keras tanpa lesen.

"Ketika diserbu, premis dipenuhi pengunjung dan pemeriksaan menemui 24 peti arak pelbagai jenama diletakkan di tangga tepi premis.

"Anggota bertindak merampas arak berkenaan dan turut menyita set karaoke di premis itu," katanya.

Selain itu, serbuan turut dibuat di sebuah hotel terkemuka selepas mendapat maklumat mengenai majlis keraian yang dihadiri pondan.

Bagaimanapun, ketika tiba, semua lelaki berpakaian wanita itu sempat melarikan diri dan JAHEAIK memberi tazkirah ringkas kepada pengunjung yang tidak menutup aurat.

"Kita harap maklumat akan sentiasa disalurkan kepada pihak berkuasa dan MPKB-BRI bagi memastikan bandar Kota Bharu bebas daripada kegiatan sosial dan tertakluk undang-undang mengikut dasar Membangun Bersama Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:00 PM