DR Baharudin (kanan) menerangkan fungsi teleskop kepada pelajar pada Program Cakap-Cakap Sains di Auditorium Pusat Sains Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim
am@hmetrro.com.my


RAKYAT Terengganu disaran tidak melepaskan peluang menyaksikan kombinasi serentak tiga fenomena bulan iaitu 'supermoon', bulan biru dan bulan berdarah yang dijangka bermula pada 7.48 malam hingga 11.11 malam ini.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, konsep gerhana menurut sains dan Islam adalah sama.

Katanya, daripada sudut sains, gerhana bulan berlaku apabila bulan terlindung bayang umbra bumi yang mana matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan lurus.

Menurutnya, fasa gerhana penuh berlaku selama satu jam 15 minit bermula 8.51 malam hingga 10.07 malam ini.

"Gerhana bulan juga dikenali sebagai bulan berdarah kerana warnanya yang kemerahan, dan ia terjadi apabila bulan berada dekat dengan ufuk dan ada cahaya yang diserakkan.

“Bukannya keadaan bulan yang berdarah sebagaimana tanggapan segelintir masyarakat terutama pelajar dan kanak-kanak yang tidak faham dengan proses fenomena itu berlaku.

"Kita tidak menolak penggunaan istilah agak 'bombastik' dan sedikit mitos kerana ia boleh mempopularkan sains. Pada masa sama masyarakat perlu dijelaskan dan tidak terus kekal dengan pemahaman bersifat sains pseudo atau sains yang kabur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada 150 pelajar, murid dan guru serta kakitangan kerajaan bagi menerangkan fenomena gerhana bulan pada Program Cakap-Cakap Sains di Pusat Sains Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, daripada sudut Islam, fenomena gerhana bulan itu boleh dijadikan iktibar dan bukti kekuasaan Allah SWT dalam mengatur perjalanan cakerawala serta mendidik hambanya supaya sentiasa tawaduk.

Katanya, gerhana bulan boleh dilihat secara terus dan ketika berlaku gerhana, umat Islam disarankan melakukan solat sunat dan membaca al-Quran sehingga berakhir gerhana penuh.

"Dengan ini kita lihat bahawa proses intergrasi antara aktiviti sains dan agama menunjukkan bahawa Islam tidak mengenepikan sains dan apabila sains itu dilaksanakan dengan syariat, ia menunjukkan satu benda yang agak baik dalam kehidupan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 5:03 PM