Antara warga asing yang ditahan dalam pemeriksaan JIM di Plaza Pasar Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, pagi tadi. FOTO ihsan JIM


PLAZA Pasar Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor hari ini dan 31 warga asing ditahan dalam Op Ikrar yang dijalankan.

Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, operasi bermula dari 6 hingga 9 pagi itu membabitkan 77 anggota dan pegawai.

"Seramai 105 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan 31 daripadanya ditahan atas kesalahan Imigresen berusia antara 23 hingga 48 tahun," katanya.

Omran berkata, daripada jumlah yang ditahan, 17 adalah warga Indonesia, Bangladesh (tujuh), Myanmar (tiga), India (dua) serta masing-masing seorang dari Thailand dan Filipina.

Menurutnya, 18 lelaki dan 13 wanita itu dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Shah Alam untuk tindakan lanjut.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pas perjalanan, Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa serta Peraturan 39 (b) kerana melanggar syarat pas masuk," katanya.

Omran berkata, operasi itu kali kedua dilakukan di lokasi sama dalam tempoh tiga minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 5:40 PM