NAJIB berjumpa dengan masyarakat India Kuala Selangor ketika menghadiri majlis Mesra Rakyat sempena Perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, semalam.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, agenda utama Kerajaan Persekutuan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat India di negara ini disifatkan sebagai work in progress atau satu usaha berterusan dan matlamat itu bukan boleh dicapai dalam sehari dua.

Beliau berkata, apa yang sedang dilakukan ketika ini bukan sesuatu perkara yang syok sendiri atau retorik.

“Bak kata orang, kita bukan hanya beromong-omong kosong atau apa yang anda sebut dalam bahasa Tamil iaitu ‘vetti pecchu’. Namun sebaliknya ia adalah ‘nijjam’ atau kenyataan.

“Kita tidak akan berputus asa sehingga semua masyarakat India di Malaysia dapat menikmati hasil nikmat pembangunan negara dan tunaikan apa yang dijanjikan,” katanya berucap pada Majlis Mesra Rakyat sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim serta Pengerusi kuil itu T Mogana Sundram.

Kira-kira 5,000 penduduk kaum Hindu membanjiri kuil berkenaan sejak malam kelmarin bagi bersembahyang dan membayar nazar sempena hari memperingati kelahiran Dewa Murugan.

Najib berkata, kerajaan tekad untuk bekerjasama dengan masyarakat India supaya dapat bersama mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi kini termasuk terus membangunkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia atau Malaysian Indian Blueprint (MIB) yang dilancarkannya pada 23 April lalu.

“MIB adalah satu usaha bertujuan menyelaras dan mengoptimumkan semua sasaran dan usaha di bawah satu pelan yang padu dan efektif yang bertumpukan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah.

“Kita akan memberikan perhatian terhadap aspek antaranya keperluan asas, kebajikan, perumahan, pendidikan awal, keusahawanan dan peningkatan pendapatan selain isu sosial serta identiti kaum India,” katanya.

Beliau berkata, pada pengumuman Bajet 2018, kaum itu terus mendapat perhatian kerajaan menerusi peruntukan RM50 juta bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India, RM50 juta bagi pinjaman TEKUN serta peruntukan RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah Tamil.

“Saya juga memberi jaminan hak kebebasan agama akan tetap dijaga oleh kerajaan BN,” katanya.

Najib berkata, sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk kaum India juga sudah dibuka Isnin lalu.

“Selain itu, saya akan melancarkan skim pelaburan khas bagi golongan isi rumah B40 pada bulan depan,” katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan Najib yang turut bersetuju menyalurkan geran berjumlah RM1.5 juta bagi membina sebuah dewan serbaguna di kuil berkenaan.

“Pembinaan kemudahan itu akan meningkatkan lagi aktiviti masyarakat India di Kuala Selangor dan ia bukti Kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan keperluan kaum India di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 4:20 AM