PASANGAN pengantin bergambar bersama pengiring lelaki dan perempuan yang berpakaian kebaya serta baju batik semasa majlis perkahwinan mereka di Taman Pedas Perdana, Rembau.
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my

Rembau: Kerana merindui kehidupan era 60-an, pasangan suami isteri nekad menganjurkan majlis perkahwinan anak mereka dalam suasana klasik di Taman Pedas Perdana di sini, bagi mengimbau kenangan, kelmarin.

Pasangan itu, Shaifulizan Sulaiman, 49, dan isteri, Yusni Ab Kudus, 49, mengaturkan majlis itu selepas melihat kebanyakan perkahwinan pada masa ini melupakan konsep lama.

Shaifullizan berkata, dia memilih melakukan perkara itu pada majlis dua anaknya, Shafeerullah, 24, bersama pasangan, Hasnita Zainal Abidin, 21 dan Shaqeereen Yustieka, 22 serta pasangan, Hafidra Adri Dasle Asraf, 23.

Katanya, majlis itu dimulakan dengan aktiviti rewang sekampung yang menjadi simbolik silaturahim antara masyarakat Melayu terdahulu.

“Jika diperhatikan, masyarakat sekarang lebih gemar menggunakan perkhidmatan katering untuk menyediakan makanan. Pada majlis ini, kami bergotong-royong menyembelih lembu, melapah dan memasak bersama penduduk Kampung Kundur Hilir, Seberang Batu Hampar dan Taman Pedas Perdana,” katanya yang juga Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Menurut Shaifullizan, majlis dibantu saudara mara dan rakan memberikan mangkuk tingkat atau ‘sia’ kepada tetamu sebagai buah tangan.

“Pihak keluarga turut memberikan telur balut yang dibungkus dengan tisu dan diletakkan dalam kotak kertas. Ini adalah budaya Melayu lama, kenapa dilupakan,” katanya.


SHAIFULIZAN (tiga dari kiri) bersama tetamu yang hadir.

Menurutnya, keempat-empat pengantin mengenakan pakaian songket Melayu yang diberi sentuhan moden ketika persandingan dibuat.

“Bukan hanya pengantin, malah rakan pengapit juga mengenakan baju kebaya bersama batik yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu. Ini sesuatu yang menyeronokkan kerana tetamu merasai seperti kembali ke era 60-an,” katanya.

Menurutnya, majlis itu berlangsung meriah kerana selain ahli keluarga, pihak tetamu juga turut mengenakan pakaian klasik itu sebagai sokongan mengimbau kenangan lalu.

“Mereka memberi sokongan apabila kad jemputan kenduri tertera perkahwinan bertemakan Kenduri Kahwin Klasik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 5:37 AM