Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. (Gambar kecil) Farid Kamil. FOTO arkib NSTP
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


POLIS menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu laporan polis terbaru dibuat pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, di Balai Polis Damansara, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan pada 5.54 petang itu dipercayai berkaitan penahanan Farid sebelum ini.

"Saya mengesahkan polis menerima laporan itu yang membabitkan banyak perkara iaitu sebelum, ketika dan selepas kejadian berkenaan (penahanan).

"Siasatan sedang dijalankan secara terperinci termasuk mengenai nama-nama individu yang dilaporkan oleh Farid," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam yang disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Jawatan KPD terdahulu, Senior Asisten Komisioner Shafien Mamat itu kini dijawat bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Dalam pada itu, kata Fadzil, Farid dinasihatkan untuk merujuk terlebih dulu dengan peguamnya kerana kes beliau masih dalam proses perbicaraan.

"Selepas laporan polis itu dibuat, Farid harus bertanggungjawab dan memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.

"Kita akan memanggil dia untuk merekodkan keterangan dalam kadar segera," katanya.

Harian Metro melaporkan dalam kejadian 1.20 tengah hari, 11 Januari lalu, pelakon itu dilaporkan ke Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter, Farid secara tiba-tiba dikatakan menampar muka petugas polis lelaki berusia 24 tahun yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Pelakon itu juga dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.

Difahamkan, Farid turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Pantai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, 18 Januari lalu, mengenai hal rumah tangga dengan isterinya, Datin Diana Dianelle, 27.

Berita berkaitan

Tidak sabar jumpa anak

Farid Kamil akan didakwa hari ini?

Farid Kamil direman 4 hari [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:20 PM