GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


LIMA belas lelaki disyaki penagih dadah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dalam operasi bersepadu di sekitar kawasan Kuala Jerlun dan Kuala Sanglang sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, operasi bermula 11 malam hingga 6 pagi hari ini tertumpu di kawasan terbabit yang disyaki menjadi tumpuan penagih dadah.

Beliau berkata, operasi turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu dan hasil serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun kerana positif methaphetamine dan hasil pemeriksaan menemui 100 gram heroin dalam simpanannya.

"Dia ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Selain itu, lima lelaki berusia antara 19 hingga 51 tahun ditahan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 selepas ujian saringan awal mendapati mereka positif syabu dan morfin.

"Dalam pada itu, sembilan lelaki berusia 19 hingga 29 tahun ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1988 dan didapati positif dadah morfin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, pihaknya turut merampas 114.67 gram dadah heroin dan 2.13 gram syabu, keseluruhan dianggarkan bernilai RM3,000.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

"Sehubungan itu kami berharap kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 9:13 PM