PEGAWAI KKM memeriksa botol vape yang dicampur cecair nikotin dalam serbuan Isnin lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Penjualan cecair vape dicampur nikotin jelas masih berleluasa walaupun ia jelas ditegah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

Risikan mendapati ramai peniaga vape dikesan menjual botol cecair vape berisi nikotin kepada orang ramai tanpa mengendahkan kesan buruk pada kesihatan.

Susulan itu, KKM melakukan operasi besar-besaran di seluruh negara Isnin lalu bagi membendung penjualan cecair nikotin pelbagai perisa.

Sumber KKM Putrajaya berkata, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai KKM melakukan serbuan di sebuah kilang vape di Negeri Sembilan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas hampir 3,000 botol cecair nikotin untuk dijual kepada penghisap rokok elektronik atau vape.

“Sebanyak 75 premis di seluruh negara turut diperiksa sebelum cecair sama dirampas membabitkan jumlah bernilai lebih RM1 juta,” katanya.

Menurutnya, setiap botol vape dijual pada harga RM40 setiap satu kepada pelanggan.

“Walaupun isu dan tindakan ini mendapat kecaman pengusaha serta pengguna vape di media sosial, namun tindakan diambil KKM adalah wajar berikutan nikotin boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan pengguna.

“Siasatan terhadap premis sama mendapati ia pernah diambil tindakan pada November 2015 dan kini, mengulangi kesalahan sama.

“Tindakan terpaksa diambil mengikut Akta Racun 1952 yang boleh membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C dan mereka yang mengilang, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen.

“Ini berkaitan dengan soal kesihatan orang ramai dan masyarakat. Tanggungjawab KKM memastikan kesihatan awam tidak terjejas.

“Isunya bukan penggunaan rokok elektronik, tetapi kandungan nikotin dalam vape,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan menghubungi Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam gagal.

Naib Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader sebelum ini menggesa kerajaan mengambil pendirian tegas dalam membanteras tabiat menghisap rokok elektronik dengan mengharamkan penggunaannya.

Katanya, berdasarkan perangkaan 2015, dianggarkan 200,000 rakyat Malayisa mati akibat penyakit berkaitan rokok setiap tahun.

“Kita sedar bahan kimia lain digunakan dalam e-cecair dan kajian menunjukkan aerosol e-rokok mengandungi karsinogen seperti formaldehid dan acetaldehid, selain logam berat seperti kadmium dan nikel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:43 AM