Polis menahan empat lelaki susulan kejadian letupan bunga api ketika perarakan Thaipusam di sini malam tadi yang mencederakan lebih 30 pengunjung.

Ketua Polis Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, semua lelaki berkenaan berumur antara 25 hingga 34 tahun ditahan di lokasi kejadian di Jalan Sekerat, sejurus kejadian 8.30 malam berkenaan.

Saifi berkata, pasukan forensik menemui kesan letupan bunga api di lokasi kejadian dan polis menolak unsur sabotaj dalam kejadian terbabit.

“Pasukan forensik menemui beberapa kesan letupan di lokasi.

“Kita sudah menahan empat lelaki di lokasi dan berdasarkan siasatan awal, tiada elemen sabotaj atau khianat dalam kejadian berkenaan. Ini semata-mata untuk meraikan sambutan Thaipusam sementara menunggu ketibaan perarakan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Saifi, empat daripada 26 pengunjung yang tercedera dalam insiden berkenaan termasuk kanak-kanak berusia lima tahun, dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

Berita berkaitan

'Cedera kerana bunga api'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 8:24 AM