KENDERAAN suami isteri remuk selepas merempuh kedai runcit di Kampung Bukit Bidang, Pasir Puteh.
Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Suami isteri terkejut apabila diacukan parang oleh dua penjenayah yang melanggar kenderaan mereka di sebuah stesen minyak di Kampung Bukit Bidang, Jalan Selising-Kok Lanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, Roslan Abdullah, 40, dan isterinya, Wan Nur Saidatul Akmal Jaffar, 38, turut kehilangan Totoya Hilux selepas kenderaan itu dilarikan penjenayah.

Roslan berkata, ketika dia selesai mengisi petrol di stesen minyak terbabit, Toyota Hilux miliknya dilanggar dari belakang oleh sebuah Honda Jazz.

Dia berkata, sebaik dirempuh, dua lelaki bertopeng keluar dan mengacukan parang ke arah mereka.

“Saya hanya mampu beristighfar sebaik dua penjenayah itu menghunuskan parang dan mereka meminta saya menyerahkan kenderaan.

“Bimbang dicederakan, saya serahkan kenderaan kepada mereka sebelum kedua-dua penjenayah melarikan diri ke arah Pasir Puteh.

“Saya dan isteri ketika itu dalam perjalanan ke Rantau Panjang sebelum singgah di stesen minyak.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan lain menyebabkan mereka berani menyamun kami dalam tempoh lima minit.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Selising dan tidak lama kemudian dimaklumkan kenderaan saya ditemui dalam keadaan remuk akibat merempuh sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Bidang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


ABD Rozak menunjukkan parang dan pistol tiruan yang ditemui dalam Toyota Hilux di Selising, Pasir Puteh.

Roslan berkata, dia ke lokasi kejadian dan mendapati wang tunai RM3,500 dan tiga telefon bimbit hilang dalam simpanan, manakala penjenayah itu pula meloloskan diri dengan kenderaan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, polis menemui pistol tiruan dan parang di dalam kenderaan pacuan empat roda itu yang dipercayai digunakan untuk menakutkan mangsa.

“Modus operandi mereka, merempuh kenderaan mangsa dari belakang sebelum menyamun dan usaha mengesan suspek giat dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 5:43 AM