PEMBANTU perubatan memeriksa mangsa. FOTO ihsan Bomba
Azahar Hashim


“KAMI bercadang melangsungkan majlis akad nikah pada penghujung bulan ini tetapi Allah lebih sayangkan arwah,” kata Mohamad Hisham Sulaiman, 30, apabila tunangnya lemas ketika mandi di Kampung Sedim, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Noor Sofia Mohd Rosli, 18, dari Kampung Labu Besar lemas ketika mandi bersama adik angkatnya.

Mohamad Hisham berkata, kali terakhir dia menghubungi arwah pada 8 malam tadi dan sempat berbual dengannya.

“Arwah memberitahu dia tidak sihat tetapi tidak memaklumkan niat untuk mandi di Sedim.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan 11.45 pagi daripada rakan arwah memaklumkan Noor Sofia lemas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kulim, hari ini.

Mohamad Hisham berkata, dia mengenali Noor Sofia sejak beberapa tahun lalu dan mereka bercadang melangsungkan pernikahan pada penghujung bulan ini.

Sementara itu, adik angkat arwah, Siti Fairuz Jamaluddin, 15, berkata, dia ke sungai itu bersama arwah serta seorang adik lelaki berusia 11 tahun.

“Noor Sofia datang ke rumah mengajak saya ke Kampung Sedim dan kami bertolak dari Labu Besar kira-kira jam 10 pagi menaiki motosikal.

“Saya rasa pelik apabila secara tiba-tiba arwah ajak saya ke Kampung Sedim sedangkan dia tidak pernah minat mandi sungai,” katanya.

Siti Fairuz berkata, ketika mandi, tiba-tiba mereka dihanyutkan arus deras dan dia cuba menyelamatkan arwah tetapi gagal.

“Saya berenang ke tebing sungai dan menjerit meminta bantuan,” katanya.

Beberapa pengunjung serta penduduk kampung turun ke sungai untuk menyelamatkan Sofia sebelum mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 15 minit kemudian.

“Saya seolah tidak percaya apa yang berlaku ini dan sejak semalam perangai arwah agak berlainan sedikit dan ini kali pertama arwah mandi di Sungai Sedim,” katanya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamad Mustakim Mokhtar berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

“Ketika sampai mangsa sudah dijumpai dan hasil pemeriksaan kakitangan ambulana mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 8:18 PM