BEKAS guru gembira bertemu semula dengan bekas pelajar pada sesi Apa Khabar Cikgu sempena Program Menelusuri Memori Wakafan di Kolej Sultan Alam Shah (KISAS), Klang.
Faliq Lajim
news@nstp.com.my

Klang: “Pada mulanya kami menjangkakan sasaran alumni yang hadir hari ini (semalam) hanya 200 hingga 400 orang. Namun, sasaran kami meleset apabila lebih 2,000 alumni dikumpulkan dalam program ini.

“Malah dana dikumpul untuk bayaran muka bagi membeli bas mini, sebaliknya cukup untuk membelinya secara tunai. Ini termasuk kos membuat garaj hasil kutipan lebih RM300,000,” kata Ketua Sukarelawan Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS) Klang Abdul Halim Abdul Hafidz.

Program Menelusuri Memori Wakafan yang dibuat bagi menghimpunkan bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dikelolakan selama dua hari itu berjaya mengumpul pelajar sekolah berkenaan serta bekas guru sejak ALKIS ditubuhkan pada 1955.

Abdul Helmi berkata, majlis pertemuan seumpama itu sering diadakan dalam usaha mengukuhkan silaturahim antara bekas pelajar di sekolah berkenaan.

“Cuma ini antara yang terbesar. Kami berbangga apabila majlis ini mendapat sambutan hebat daripada bekas pelajar. Kebanyakan mereka juga antara nama besar dan penting dalam membangunkan negara.

“Bukan saja hanya berkumpul dengan sembang kosong, tapi kita mahu memberi balik apa ilmu kepada pelajar KISAS sedia ada dengan membuat ceramah serta motivasi daripada orang alumni yang berjaya,” katanya yang juga Penasihat Agama 1Malaysia For Youth (iM4U).

Menurutnya, bukan itu saja, 300 alumni yang terawal juga diberi peluang untuk tidur di hostel sekolah sama seperti mereka menjejakkan kaki ke sekolah itu pada hari pertama pendaftaran.

Dalam program berkenaan banyak acara yang diselitkan termasuk bacaan yassin, Qiamullai, aktiviti sukaneka dan lain-lain lagi.

Sementara itu, seorang alumni KISAS 1998, Mohd Fadhlur Rahman Pauzi, 39, berkata, dia masih mengingati bagaimana sekolah ini menerapkan konsep Biah Solehah yang kebanyakannya tiada di sekolah lain.

“Biah solehah ini adalah bagaimana tatacara, kelakuan, cara bergaul, batasan pergaulan dan lain-lain lagi terutamanya apabila berinteraksi dengan pelajar perempuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 4:56 AM