LAMIN menunjukkan bubuk yang ditangkap.
Mohd Nazllie Zainul
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Musim udang geragau atau dikenali bubuk dalam kalangan masyarakat tempatan antara Disember hingga Mac sentiasa dinanti kerana ia turut memberi pendapatan tambahan kepada nelayan daerah ini.

Nelayan sekitar bandar raya dan kawasan berhampiran tidak melepaskan peluang menangkap dan menjual bubuk berikutan permintaan tinggi penggemar hidupan laut itu.

Tinjauan di pantai Tanjung Lipat, Likas di pinggir bandar raya ini mendapati bubuk antara hasil laut paling banyak diperoleh nelayan tradisional selain ikan, udang dan ketam.

Lamin Saban, 56, berkata, dia ke laut setiap hari bagi memukat ikan atau udang untuk dijual, selain kegunaan sendiri sejak beberapa tahun lalu namun tahun ini kali pertama cubaannya memburu bubuk.

“Kali pertama menangkap bubuk, tak sangka saya mampu meraih hampir 10 kilogram (kg) setiap hari. Rutin harian saya bermula jam 6 hingga 10 pagi bagi mendapatkan bubuk.

“Saya tidak menjual bubuk di tepi jalan seperti nelayan lain kerana memiliki pelanggan tetap yang sering meminta bubuk dalam kuantiti banyak untuk dijadikan belacan dan cencaluk.


LAMIN mempersiapkan sorong-sorong sebelum menangkap bubuk.

“Bagaimanapun, sekiranya ada pelanggan datang untuk membeli bubuk ketika saya berada di sini, saya tetap menjualnya dengan harga RM5 satu plastik,” katanya.

Romano Hassan, 15, berkata, bubuk boleh ditemui di beberapa pantai di daerah ini, tetapi makanan laut berwarna kemerah-merahan itu lebih mudah diperoleh kawasan pantai Tanjung Lipat.

Sering turun ke laut bersama abang dan sahabatnya, Romano berkata, bubuk mudah ditangkap menggunakan alat buatan sendiri dikenali sebagai sorong-sorong.

“Alat ini diperbuat daripada dua batang kayu dan bahagian atas sorong-sorong perlu diletakkan dalam keadaan bersilang agar mudah digunakan.

“Hujung alat diletakkan paip polimer yang dibentuk melengkung supaya memudahkan proses menangkap bubuk.

“Akhir sekali, kelambu dijahit pada pertengahan alat. Penggunaan kelambu lebih sesuai berbanding pukat atau jala sedia ada di pasaran kerana memiliki lubang jaring kecil, sesuai dengan saiz bubuk,” katanya yang mampu memperoleh hingga 50kg bubuk dalam sehari.

Selain menjual bubuk secara basah dan segar, Romano memasarkan bubuk yang dikeringkan dan mampu bertahan lama sehingga beberapa tahun jika disimpan dalam peti sejuk.

Selain dijadikan belacan atau cencaluk, bubuk sering dijadikan bahan campuran dalam masakan seperti mi dan nasi goreng serta sayur, selain sedap dibuat cucur sarapan pagi mahupun minum petang.


LAMIN menebar sorong-sorong di Pantai Tanjung Lipat, Likas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:46 AM