SIRHAJWAN Idek. FOTO Ihsan Sirhajwan Idek
Norasikin Daineh


“SAYA tercalon kerana berani dan tekad membuktikan tiada yang mustahil untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkembangkan diri secara profesional," kata Sirhajwan Idek, 30.

Pensyarah Kolej Vokasional Keningau itu tercalon dalam dua anugerah antarabangsa yang dipertandingkan dalam Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards pada 28 Februari ini.

Sirhajwan berkata, menerusi pencalonan itu beliau dapat membantu pelajar dan rakan sekerjanya supaya yakin dengan kebolehan masing-masing.

Katanya, dia tercalon dalam dua daripada enam anugerah antarabangsa pada majlis yang akan berlangsung di Dubai nanti.

"Anugerah pertama yang saya tercalon adalah Community Award for Citizenship kerana sumbangan saya kepada komuniti melalui pendidikan iaitu mewujudkan program 'Wonder Zone'.

"Dalam program ini, pelajar saya melaksanakan projek yang dirancang sebagai penyelesaian kepada isu dihadapi kanak-kanak di sekolah rendah seperti kesihatan, kemahiran membaca, kebersihan, teknologi dan alam sekitar.

"Dalam anugerah ini, ada lapan finalis tercalon dari seluruh dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi anugerah kedua, Sirhajwan berkata, beliau antara 11 finalis tercalon dalam Outstanding Contribution in Education Award terhadap pencapaiannya sebagai pensyarah kolej ini.

"Saya berjaya membantu pelajar untuk bertanding dan memenangi pertandingan Bahasa Inggeris, Inovasi, Keusahawan dan ini sangat bermakna bagi pelajar yang berada di tempat terpencil serta kurang pendedahan kepada dunia luar.

"Selain itu, saya membantu dalam perkembangan profesional pendidik melalui kursus, kajian, perkongsian ilmu serta membantu guru dalam kajian, persidangan dan inovasi mereka," katanya.

Anak kelahiran Kota Belud itu berkata, beliau mengetahui dicalonkan dalam dua anugerah itu pada 18 Januari lalu menerusi pesanan emel.

"Sebaik menerima berita itu, saya sangat bersyukur dan gembira sebab kriteria pemilihan begitu sengit. Malah yang lebih mengejutkan bukan satu (anugerah) yang terpilih, tetapi dua anugerah sekali gus sukar dipercayai," katanya.

Difahamkan, Sirhajwan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi finalis dalam dua anugerah sama.

Terdahulu, Sirhajwan yang kini menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam turut berkongsi kejayaan diperoleh sebelum ini termasuk memenangi tiga pertandingan antarabangsa dan memperoleh 10 pencapaian antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 4:58 PM