KEADAAN rumah didiami Mohamad Zain Wahab bersama isteri serta enam anaknya di Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


SEMBILAN beranak terpaksa berteduh di rumah yang usang kerana tidak mampu membina tempat tinggal yang selesa akibat kesempitan hidup.

Akibatnya, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di rumah daif di Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang itu, dengan hampir keseluruhan bumbung bocor.

Siti Aminah Mohamad Ghazali, 39, tinggal di rumah itu bersama suami Mohamad Zain Wahab, 41, dan enam anak mereka.

Siti Aminah berkata, mereka sekeluarga tinggal di rumah peninggalan arwah orang tuanya sejak 15 tahun lalu.

Menurut Siti Aminah, suaminya hanya bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak, manakala dia adalah suri rumah.

"Saya tidak dapat membantu suami untuk menambah pendapatan keluarga kerana mengurus makan minum di rumah dan anak-anak yang bersekolah dan yang masih kecil.

"Suami bekerja sekadar cukup untuk berbelanja dapur dan persekolahan anak, malah pernah kami mengikat perut demi anak-anak yang bersekolah kerana bimbang mereka tercicir dalam pelajaran," katanya.


SITI Aminah Mohamad Ghazali (kanan) bersama anak dan adiknya di rumah mereka yang daif di Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang. FOTO Safuri Kamarudin

Pasangan itu dikurniakan enam anak iaitu Nurliana Mohamad Zain, 18, Nurdini Nazifa, 15, Mohamad Nizal Nukman, 11, Mohamad Syamil, 9, Hazim Nasrullah, dua tahun dan Nurhana Atiqah, tiga bulan.

"Saya sedih setiap kali hujan lebat kerana bumbung rumah kami bocor di segenap penjuru, menyebabkan anak-anak terpaksa berpindah tempat tidur jika hujan turun tengah malam.

"Kadang-kadang hati terusik mengenang nasib yang dialami memandangkan anak-anak serba kekurangan berbanding rakan sebaya yang lain dan tidak selesa menelaah pelajaran.

"Saya hanya mampu memberi semangat dan dorongan supaya mereka terus belajar dan ada ilmu yang boleh mengubah masa depan keluarga," katanya.

"Biarpun saya susah, tetapi saya tidak mengajar anak meminta sebaliknya berusaha untuk meneruskan kehidupan dan berazam mencapai kejayaan,” katanya.

Siti Aminah berkata, dia juga berharap ada sinar masa depan dan ada pihak tampil membantu memulih rumahnya.

"Soal makan minum, suami masih mampu berusaha untuk keluarga tetapi tidak terdaya untuk menyedia sebuah tempat tinggal yang lebih sempurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 9:18 PM