Zuliaty Zulkiffli


“Sepanjang lima tahun bertugas menangkap ular dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ini kali pertama saya berdepan dengan ular tedung selar yang besar dan agresif seperti ini.

"Reptilia itu cuba menyerang kami tetapi dengan kemahiran yang kami ada, kami berjaya mengelak dan berjaya menangkap ular sepanjang enam meter seberat 28 kilogram itu," ujar anggota APM Kubang Pasu, Shahrul Azri Aziz, 27.

Dalam kejadian Khamis lalu, ular tedung selar itu ditangkap anggota APM Kubang Pasu di rumah penduduk di Napoh, kira-kira 4 petang.

Menurut Shahrul Azri, pada mulanya ular tedung selar itu bersembunyi di bahagian timbunan zink dan disedari jiran pemilik rumah itu sebelum reptilia itu hampir memasuki rumah penduduk.

Katanya, dia bersama dua anggota kemudian berpecah dan dia memegang bahagian ekor ular.

"Sewaktu ular itu cuba mengembangkan kepalanya, seorang lagi anggota sempat memegang bahagian kepalanya menggunakan penjerut sebelum memasukkannya ke dalam guni," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, ular tedung selar itu akan diserahkan kepada Taman Ular Batu Pahat di Perlis.

Beliau berkata, ular itu adalah yang paling besar ditangkap di daerah ini.

"Setakat ini, kes tangkapan ular di daerah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 58 kes sejak awal bulan lalu.

"Tahun lalu, kami berjaya menangkap sebanyak 623 pelbagai spesis ular seperti tedung senduk, tedung senduk tikus, rusuk kerbau, sawa burung dan ular kapak.

"Kesemua ular itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Kamalruzamal berkata, kebanyakan ular berkenaan ditangkap di kawasan kampung dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan hutan dan semak samun di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:21 PM
PEGAWAI Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa (tiga dari kiri) bersama anggotanya memegang ular tedung selar sepanjang enam meter dan seberat 28 kilogram yang ditangkap di Kampung Kota Guar Napai, Napoh, dua hari lalu. FOTO Zuliaty Zulkifli