RAZARUDIN (dua dari kiri) bersama Salehhudin (kiri), Chandra (kanan) dan Mohd Haris menunjukkan barangan seludup yang dirampas di IPD Penampang, hari ini. FOTO Edmund Samunting
RAZARUDIN (dua dari kiri) bersama Salehhudin (kiri), Chandra (kanan) dan Mohd Haris menunjukkan barangan seludup yang dirampas di IPD Penampang, hari ini. FOTO Edmund Samunting
Fardy Bungga


INTIPAN selama dua minggu di sebuah rumah kedai di Penampang membuahkan hasil apabila polis berjaya mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras, mercun dan rokok membabitkan nilai RM700,000 pada Ahad lalu.

Dalam serbuan pada 4.40 petang, polis menahan lapan individu berusia 24 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita terdiri pemilik, pengurus premis, pekerja dan pemborong barangan berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, premis berkenaan didapati digunakan oleh sindiket sebagai stor transit barangan selain menyembunyikan barangan seludup sejak setahun lalu.

"Rampasan itu membabitkan 934 kotak minuman keras (dalam tin) pelbagai jenis, 13 kotak minuman keras (botol) pelbagai jenis, 717 kotak rokok pelbagai jenama dan 124 kotak mercun pelbagai jenis.

"Selain itu, polis turut merampas empat lori, sebuah van dan kereta serta wang tunai RM66,271 dipercayai hasil urus niaga barangan seludup berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Menurutnya, polis akan mendapatkan bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) untuk mengenal pasti jumlah cukai yang terbabit dalam kes itu.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 bagi minuman keras dan rokok, manakala Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967 bagi rampasan mercun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 2:32 PM