PESERTA menerima sijil selepas tamat kursus.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Sembilan menyasarkan melahirkan sekurang-kurangnya 20 imam dan bilal muda dalam kalangan ahli pertubuhan itu, tahun ini.

Timbalan Pengerusinya Zulazrin Chew Abdullah berkata, pelbagai program membentuk imam dan bilal dijalankan pertubuhan itu dengan kerjasama Unit Ukhuwah dan Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Katanya, usaha itu bertujuan memastikan mereka yang dilantik sebagai imam dan bilal memainkan peranan sebagai pelapis yang mengimarahkan masjid serta surau terutama membabitkan komuniti Cina Muslim.

“Usaha melahirkan lebih ramai imam dan bilal dalam kalangan Cina Muslim ini melancarkan lagi usaha dakwah kepada golongan bukan Islam.

“Selain itu, ia memastikan usaha membimbing saudara baru dalam kalangan Cina Muslim dilakukan dengan lebih berkesan, sekali gus memartabatkan Islam,” katanya selepas majlis penyampaian sijil Kursus Imam dan Bilal Cina Muslim di Akademi Ahsan di Ampangan di sini, semalam.


BIMBINGAN solat disampaikan pegawai JHEAINS.

Seramai 16 peserta Cina Muslim berusia antara 16 hingga 60 tahun menyertai kursus selama tiga hari itu.

Zulazrin berkata, program bimbingan dilakukan berterusan termasuk menghantar calon berpotensi mengikuti kursus tahunan imam muda untuk mendapat pendedahan dalam pembacaan al-Quran seterusnya menjadi pelapis pada masa depan.

Sementara itu, beliau berkata, kewujudan MACMA bukan sekadar memberi tumpuan membantu mualaf Cina, tetapi juga memastikan kebajikan mereka dan keluarga terpelihara.

“Kami (MACMA) juga berharap menjadi jambatan yang meneguhkan hubungan antara kaum Cina dengan masyarakat Islam dan memperkasakan masyarakat Cina Muslim selain menangani salah faham yang timbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:17 AM