ANGGOTA polis berpangkat lans koperal berusia 28 tahun yang bertugas di Balai Polis Pagoh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang rasuah berjumlah RM700. FOTO Ihsan SPRM
Mohamad Fahd Rahmat


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan dua anggota polis selepas disyaki menerima sebahagian daripada wang rasuah berjumlah RM700 secara bulanan sejak November tahun lalu hingga Januari lalu.

Menurut sumber, kedua-dua koperal dan lans koperal yang bertugas di Muar itu dipercayai menerima rasuah bulanan sehingga Januari lalu.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 28 dan 50 tahun itu menerima wang terbabit sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas majikan pengadu yang mengambil pekerja asing tanpa permit kerja (PATI) bekerja di tapak pembinaan sekitar pekan Pagoh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, seorang lans koperal ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM700 secara bulanan daripada seorang staf kontraktor sejak November 2017 sehingga Januari lalu.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan mengambil pekerja buruh asing tanpa permit kerja bagi melaksanakan kerja pembinaan di sekitar pekan Pagoh.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 12:37 AM