HM Digital

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan membantu penjaja tepi jalan berubah kepada konsep kenderaan saji (food truck) dengan menyediakan pelbagai insentif kepada golongan itu.

Langkah itu sejajar dengan matlamat kementerian memastikan tiada lagi penjaja tepi jalan menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya sedang berbincang dengan agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk menyediakan bantuan dalam bentuk pinjaman kepada peniaga.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan syarikat pengeluar trak bagi mengatasi isu pemilikan kenderaan itu.


TENGKU Adnan beramah mesra dengan peniaga Food Truck, semalam.

“Usaha (perbincangan) ini sedang berjalan. Kita harap mereka (peniaga) akan take off (lonjak) lebih cepat.

“Setakat ini, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) melesenkan kepada lebih 220 peniaga kenderaan saji di Kuala Lumpur.

“Kita harap tahun ini DBKL akan melesenkan 1,000 pengusaha kenderaan saji keseluruhannya,” katanya selepas melancarkan penjualan menu rakyat oleh usahawan kenderaan saji di Karnival Food Truck Hari Wilayah Persekutuan 2018 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:12 AM