KEADAAN Perodua Alza yang terbabas sebelum merempuh kawasan premis di medan selera di Jalan Sultan Ahmad, semalam.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Pekan: Orang ramai yang menikmati sarapan di medan selera di Jalan Sultan Ahmad, di sini, gempar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza terbabas sebelum merempuh kawasan premis itu, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.24 pagi, pemandu Perodua Alza, Aini Idris, 56, yang memandu dari arah Pekan menghala ke Rompin terpijak pedal minyak secara tidak sengaja selepas dikatakan hendak memijak pedal brek apabila cuba mengelak motosikal yang muncul secara mengejut dari arah bertentangan dan memasuki laluannya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit memandu kenderaannya untuk memasuki laluan ke sebelah kanan jalan raya sebelum muncul motosikal dari arah bertentangan menyebabkan mangsa panik lalu terpijak pedal minyak.

“Rakaman percakapan dijalankan ke atas wanita berkenaan, dia memaklumkan hendak memijak pedal brek tetapi kakinya secara tidak sengaja memijak pedal minyak menyebabkan MPV dipandunya meluru laju sebelum terbabas dan melanggar kedai makan milik Majlis Daerah Pekan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Amran berkata, kejadian itu turut menyebabkan kerosakan pada kereta Toyota Camry dan motosikal Honda EX5.

Katanya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Pemandu kenderaan dan orang ramai di kawasan kedai makan itu tidak mengalami kecederaan dan setakat ini dua laporan berkaitan kemalangan itu sudah diterima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:20 AM