Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Sebuah gudang dan kedai alat perkakasan berhampiran stesen minyak Petronas Bemban, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu memusnahkan 80 peratus premis berkenaan, namun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan I, Noor Hisham Kamal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.55 pagi daripada pekerja premis berkenaan.


Anggota bomba memadam kebakaran gudang dan kedai alat perkakasan di Jalan Racik Batu 14, Bemban.

Beliau berkata, sejurus selepas itu sepasukan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari dan Bukit Katil bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengambil tempoh 30 minit mengawal api yang marak disebabkan angin yang kencang.

“Kemusnahan membabitkan 80 peratus premis yang menyimpan pelbagai perkakas, termasuk cat,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati lima pekerja bermalam di premis itu dan api dipercayai bermula dari lantai di tengah premis.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 7:49 AM